Jumaat, 1 Mei 2009

26 sekolah dapat RM760,000

MELAKA 30 April - Sebanyak 26 buah sekolah di negeri ini menerima peruntukan berjumlah RM760,000 bagi melaksanakan pelbagai program kecemerlangan di kalangan pelajarnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, berkata, peruntukan tahunan daripada kerajaan negeri itu bertujuan meningkatkan taraf pendidikan pelajar bersesuaian dengan keperluan semasa.

Tambah beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi menjalankan program tuisyen kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Peruntukan itu membabitkan sebanyak 26 buah sekolah asrama harian termasuk 19 daripada Jabatan Pelajaran negeri manakala bakinya adalah sekolah agama bantuan kerajaan.

"Program kecemerlangan ini merupakan satu perkara yang penting dan perlu diutamakan setiap guru dan kakitangan sekolah.

"Ini kerana, dengan usaha itu ia secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan prestasi pelajar di samping memberi keyakinan kepada mereka untuk berjaya," katanya.

Mohd. Ali berkata demikian dalam ucapannya pada majlis penyerahan cek Program Kecemerlangan Pelajar, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), PMR dan SPM bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Beruang dekat sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Md Sirat Abu.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Wahab Ab Latip dan Pengarah Pelajaran negeri, Isa Abu.

Pada majlis sama sebanyak 11 buah sekolah di dalam DUN Bukit Baru masing-masing tujuh sekolah rendah dan empat menengah dengan jumlah sebanyak RM31,200 menerima cek tajaan program yang disampaikan Md Sirat.

Menurut Mohd. Ali, pencapaian yang ditunjukkan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun lalu juga amat memberansangkan.

Malah, menurut beliau, di peringkat STPM, kelulusan turut meningkat 100 peratus jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya manakala bagi pencapaian SPM pula, ia mengatasi peratusan nasional iaitu 2.73 peratus.

"Saya sangat berbangga apabila melihat daripada 12,625 calon SPM tahun lalu, seramai 259 daripadanya berjaya memperoleh A dalam semua mata pelajaran sekaligus menjadikan peratusan meningkat sebanyak 2.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Justeru, saya berharap kejayaan dan perkembangan ini akan sentiasa berterusan demi mencapai modal insan yang lebih baik demi melihat kecemerlangan masa depan negara," katanya.

Utusan Malaysia Online: 1 Mei 2009

Tiada ulasan: