Isnin, 25 Mei 2009

Abdullah Tokoh Guru Pahang 2009


Adnan Yaakob menyampaikan replika Sijil Simpanan Premium bernilai RM1,000 kepada Tokoh Guru Pahang, Abdullah Abdul Kadir sempena perayaan Hari Guru Pahang 2009 di Maran, Pahang, kelmarin. - UTUSAN/Salehudin Mat Rasad


MARAN 24 Mei - Bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran, Datuk Abdullah Abdul Kadir dipilih sebagai Tokoh Guru Pahang 2009 sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri di sini semalam.

Abdullah, 59, dipilih berikutan sumbangan besarnya terhadap pendidikan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Hadiah berupa trofi dan sijil disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini.

Abdullah ketika ditemui berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada pelbagai pihak yang memilihnya sebagai tokoh guru bagi peringkat negeri.

Dalam pada itu, bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Rompin dan pensyarah Maktab Perguruan Teruntum, Kuantan itu menasihati lepasan universiti supaya memilih profesion tersebut kerana minat dan bukan kerana terpaksa akibat tidak memperoleh pekerjaan lain.

Pada masa ini, katanya, kerjaya guru semakin diminati berikutan pelbagai insentif seperti peluang kenaikan pangkat dan skim gaji yang menarik.

''Jangan berpura-pura menjadi guru kerana 'lakonan' yang tidak seiring dengan kehendak jiwa itu menyebabkan profesion perguruan menghadapi masalah melahirkan pelajar berkualiti,'' tegasnya.

Anak kelahiran Bebar, Pekan itu juga menasihati golongan pendidik supaya sentiasa muhasabah diri dengan bertindak dan bersifat sebagai seorang guru dalam semua situasi ketika berdepan dengan masyarakat.

''Setiap gerak geri guru sentiasa diperhatikan masyarakat kerana mereka menjadi model kepada generasi muda," katanya yang juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran.

Menurut bekas Pegawai Pelajaran Daerah Lipis itu, guru tidak seharusnya membantah apabila ditukar tempat bertugas kerana beliau sendiri pernah ditukar sebanyak 16 kali sepanjang 25 tahun berkhidmat sebagai guru.

''Bertukar dan bertugas di tempat baru banyak hikmah serta pengetahuan baru dapat ditimba yang dapat memantapkan lagi kerjaya guru," jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 25 Mei 2009

Tiada ulasan: