Ahad, 10 Mei 2009

Boleh rotan atau tidak

Oleh MOHD ROJI ABDULLAH
am@hmetro.com.my


BATU PAHAT: Pejabat Peguam Negara digesa membuat keputusan segera berhubung pelaksanaan hukuman merotan pelajar sekolah, sama ada dibenarkan atau sebaliknya, bagi membendung masalah disiplin pelajar yang semakin membimbangkan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sampai masanya satu tindakan drastik tetapi masih boleh diterima pelbagai pihak dilakukan dalam menangani masalah disiplin pelajar sekolah yang menjadi belenggu bagi pihak sekolah untuk melaksanakan hukuman.

Katanya, masalah itu timbul kerana mentaliti segelintir masyarakat yang enggan menerima tindakan positif, sebaliknya lebih suka menyalahkan guru yang cuba membentuk disiplin anak mereka.

“Peraturan yang ada ketika ini melarang guru menyentuh pelajar ketika melaksanakan hukuman dan inilah kekangan utama untuk kita melaksanakan hukuman merotan bagi mendisiplinkan pelajar.

“Kita tidak mahu, apabila guru merotan pelajar, ibu bapa akan menggunakan saluran undang-undang untuk mengenakan guru itu semula.

“Ibu bapa harus faham, mesti ada sebab guru merotan anak mereka kerana ia bertujuan membendung pelajar daripada mengulangi kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Skim Khairat Percuma Sesi 2009/2010, Parlimen Batu Pahat di Dewan Senggarang, di sini, semalam.

Menurut Mohd Puad, ibu bapa harus lebih bertanggungjawab terhadap pembentukan disiplin anak mereka dengan memahami tugas guru.

“Selagi tidak mendatangkan kemudaratan dan mengikut prosedur ditetapkan, ia boleh dilaksanakan kerana merotan adalah kaedah terbaik untuk membentuk disiplin pelajar sejak dulu lagi dan ibu bapa harus faham tugas guru, bukan terus menerus memberi tekanan.

“Saya juga meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memahami keadaan sebenar mengapa sesuatu tindakan diambil terhadap pelajar sebelum mereka cuba menjadi hero dengan mendorong ibu bapa membuat laporan polis dan menyaman guru serta pihak sekolah,” katanya.

Mohd Puad berkata, sebenarnya ramai pihak bersetuju hukuman merotan dilaksanakan semula di sekolah, namun kementerian menghadapi masalah kerana menerima bantahan daripada segelintir peguam dan NGO.

“Hukuman merotan perlu dilaksanakan segera kerana ia bukan mendera tetapi untuk mendidik, dan saya berharap Peguam Negara membuat keputusan segera mengenainya,” katanya.

myMetro: 10 Mei 2009

Tiada ulasan: