Rabu, 20 Mei 2009

Derma darah sempena Hari Guru

PULAU PINANG 19 Mei - Program derma darah bersempena sambutan Hari Guru di negeri ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 240 orang.

Ia dilancarkan oleh Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ibrahim Mohamad pada pukul 8.45 pagi di Pusat Darah, Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan guru-guru di seluruh daerah Pulau Pinang.

"Kita terharu dengan penyertaan mereka yang nyata prihatin untuk melibatkan diri dalam program-program kebajikan seperti ini.

"Ini merupakan salah satu pengisian bersempena sambutan Hari Guru baru-baru ini dan diharap mampu memberi sumbangan positif kepada masyarakat,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, selain HPP, sebanyak empat buah hospital lain turut terlibat dalam program tersebut sepanjang hari ini iaitu di Hospital Bukit Mertajam, Hospital Sungai Bakap, Hospital Seberang Jaya dan Hospital Kepala Batas.

Pada masa sama, beliau melahirkan harapan agar lebih ramai guru dan kakitangan Jabatan Pelajaran dan Pejabat Pelajaran Daerah tampil menderma darah.

Utusan Malaysia Online: 20 Mei 2009

Tiada ulasan: