Isnin, 18 Mei 2009

Dua pelajar cemerlang ingin jadi guru

JOHOR BAHRU 17 Mei - Dua pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2 dekat sini yang menerima Anugerah Tokoh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Anugerah Pendidikan Khas bercita-cita menjadi guru.

Menurut Nur Nadia Johari, 20 yang mendapat 4A dalam peperiksaan STPM 2008, sejak kecil lagi dia menyimpan hasrat untuk menjadi seorang guru.

"Orang lain mungkin berubah cita-cita seiring peningkatan usia, namun cita-cita saya untuk menjadi guru tidak berubah sehingga kini.

"Mungkin dengan mempunyai cita-cita yang jelas, dapat membantu saya cemerlang dalam pelajaran," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Cemerlang SMK Pasir Gudang 2 semalam.

Selain itu, kata Nur Nadia, dia komited meluangkan masa selama dua jam setiap hari untuk mengulangkaji pelajaran dan sering bertanyakan soalan kepada guru-guru.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, dia memperoleh A bagi mata pelajaran Sejarah, Pengajian Am, Bahasa Melayu dan Pengajian Islam.

Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Datuk Abdul Halim Suleiman yang turut menyampaikan anugerah kepada pelajar-pelajar cemerlang.

Bagi Low Zhin Mein, 16, pula, dia mahu menjadi seorang guru kerana ingin membantu pelajar-pelajar daripada golongan orang kurang upaya (OKU) sepertinya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu memperoleh 7A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun lalu.

Menurut Zhin Mein, dia mengalami masalah pendengaran sejak dilahirkan, namun keadaannya semakin pulih setelah menjalani pembedahan pada 2002.

Utusan Malaysia Online: 18 Mei 2009

Tiada ulasan: