Jumaat, 29 Mei 2009

Enstek diharap dapat lahirkan ilmuwan

SEREMBAN 28 Mei - Kompleks Pendidikan Bandar Enstek, Nilai dekat sini diharap akan dapat melahirkan golongan ilmuwan dalam bidang pendidikan bagi memperkasakan masa hadapan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kompleks bernilai RM1.3 bilion yang membabitkan dua fasa pembangunan meliputi kawasan seluas 404.68 hektar itu dijangka siap pembinaannya pada tahun 2011 bagi fasa satu.

''Dengan kos RM1.3 bilion itu, saya berharap ia akan menjadi lembah ilmu bukan sahaja kepada pelajar sekolah tetapi guru dan golongan pendidik," katanya yang juga Menteri Pelajaran kepada pemberita selepas meletak batu asas kompleks tersebut dekat sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkurnain Awang.

Terdahulu dalam sesi taklimat pembangunan kompleks itu, Zulkurnain berkata, kos pembinaan bagi fasa pertama melibatkan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu RM621.41 juta yang meliputi kawasan seluas 254.2 hektar.

Fasa kedua pula katanya, akan dilaksanakan melalui peruntukan RMK-10 dengan kos RM403 juta yang melibatkan keluasan projek 150.23 hektar.

''Pembangunan dalam kompleks ini membabitkan empat institusi pendidikan yang melibatkan pelajar, guru dan golongan akademik," kata beliau di sini hari ini.

Ia mencakupi pembangunan Institut Aminuddin Baki (IAB), Kolej Tunku Kurshiah (TKC), English Language Teaching Centre (ELTC) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk fasa satu.

IAB yang dibina di sini akan menjadi cawangan induk kepada IAB Genting, IAB utara dan IAB Sarawak manakala penempatan TKC pula akan menyediakan kemudahan pelajar 'International Baccalaureate' - Ijazah Sarjana Muda (IB) melibatkan seramai 150 pelajar.

Bagi ELTC pula ia akan menjadi hab pendidikan Bahasa Inggeris yang mampu memuatkan 600 orang sementara IPGM pula merupakan kampus induk kepada semua IPG di seluruh negara yang kini berjumlah 27 buah.

Zulkurnain berkata, fasa kedua dalam RMK-10 melibatkan kerja pembangunan sekolah kebangsaan, sekolah menengah, kuarters, penginapan peserta, perkhidmatan untuk IPGM (1,000 orang) dan ELTC (600 orang), Balai Islam, pusat kokurikulum kebangsaan dan pusat perkhemahan.

''Kawasan kompleks ini bersifat guna sama dan pembangunan mesra alam selain menerapkan unsur pendidikan dalam taman.

"Selain daripada itu ia juga dilengkapi dengan sistem infra dan utiliti yang menghubungkan semua pakej pembangunan serta dibina dengan sistem pembinaan berindustri (IBS)," kata beliau.

Menurutnya, melalui kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), semua kontraktor yang dilantik hendaklah juga menyiapkan kerja dalam tempoh masa yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kelewatan.

Utusan Malaysia Online: 29 Mei 2009

Tiada ulasan: