Selasa, 19 Mei 2009

Guru digesa tingkatkanpotensi diri

SEREMBAN 18 Mei - Pendidik digesa mengambil inisiatif untuk meningkatkan potensi diri sekali gus mengangkat martabat profesion perguruan sejajar dengan perkembangan semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Shamsulkahar Mohd. Deli berkata, guru yang berpengetahuan luas dalam bidang tertentu dan mempunyai sesuatu kemahiran mampu melaksanakan tugas dengan cemerlang.

"Pendidik perlu menjadi contoh yang terbaik kepada pelajar kerana peranan mereka bukan sekadar mengajar di dalam bilik darjah tetapi membentuk generasi yang bakal menerajui negara," kata beliau di sini hari ini.

Beliau menambah, guru juga perlu komited untuk meneruskan usaha dalam mendidik pelajar ke arah pengukuhan sistem pendidikan negara.

"Usaha murni dan pengorbanan guru ini akan sentiasa dihargai oleh semua terutama dalam mendidik pelajar menjadi insan yang cemerlang pada masa depan," kata beliau.

Beliau juga meminta setiap sekolah di negeri ini meneruskan tradisi mengadakan sambutan Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei setiap tahun di peringkat sekolah masing-masing.

"Sambutan seperti ini akan membakar semangat pelajar dan guru-guru terbabit selain memberi ruang kepada pelajar untuk menghargai guru mereka," katanya.

Katanya, sambutan Hari Guru peringkat negeri tahun ini dijadualkan pada 27 Mei ini. Ia dijangka dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Utusan Malaysia Online: 19 Mei 2009

Tiada ulasan: