Ahad, 31 Mei 2009

JPN Kelantan lancar operasi pantau kantin sekolah

KOTA BHARU 30 Mei - Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) telah melancarkan operasi gerak gempur ke kantin dan dewan makan sekolah di seluruh negeri ini sebagai langkah membanteras berulangnya kes keracunan makanan.

Ketua Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Pelajar Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPN, Siti Meriam Mohamed berkata, langkah tersebut dilakukan kerana Kelantan antara negeri yang mencatat kes tertinggi.

''Tahun lepas sebanyak 33 kes keracunan dicatatkan sepanjang tahun di negeri ini dan ia antara yang tertinggi selepas Sabah.

''Selepas berlaku banyak kes, JPN dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pengusahanya termasuk menyita kantin sebelum kes keracunan berlaku," ujarnya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, sebelum ini tindakan menyita kantin diambil selepas sesuatu kes terjadi, tetapi dalam operasi gerak gempur tersebut, kantin yang didapati kotor akan terus diberi amaran.

''Sejak operasi tersebut dilakukan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 13 kes dikesan dan JPN kini berusaha mengurangkan jumlah tersebut daripada tahun sebelumnya.

''Semua pegawai yang terlibat akan memantau sebanyak 540 buah sekolah rendah dan menengah di negeri ini dengan mengadakan lawatan mengejut ke kantin-kantin termasuk pengarah JPN dan timbalannya bersetuju untuk turun padang," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 31 Mei 2009

Tiada ulasan: