Jumaat, 22 Mei 2009

Ke mana hilangnya Yayasan Guru?

BELUM terlambat rasanya saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di seluruh negara dengan tema pada tahun 2009 ini Guru Pembina Negara Bangsa. Saya mengharapkan ucapan sebegini akan disampaikan dalam ruangan ini oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB ).

Malangnya selepas beberapa hari sambutan Hari Guru berlalu namun kelibat dari YGMB pun tak kelihatan. Slogan Bersatu Maju pun tak wujud lagi.

Saya sebagai salah seorang ahli seumur hidup YGMB terus tertanya-tanya ke mana perginya yayasan yang tidak dapat dikesan ini. Telefon pun tidak ada dalam perkhidmatan lagi.

YGMB satu ketika dulu mempunyai 141,056 hingga 165,687 ahli seumur hidup dan 75,369 orang ahli biasa (data 30 September 1998). Ahli seumur hidup membayar antara RM200 /RM500 sahaja, manakala ahli biasa membayar RM24 setahun. Pelbagai insentif berbentuk kebajikan ahli telah ditawarkan.

Mengikut data 24 Oktober 2007, YGMB mempunyai wang tunai sebanyak RM8.678 juta yang disimpan dalam bentuk akaun semasa dan akaun tetap. Sementara unit saham melalui terbitan awam pula sebanyak 3.6 juta.

Mengikut laporan 1999 YGMB mempunyai pelaburan jangka panjang dalam bentuk simpanan tetap sebanyak RM5.8 juta, melabur dalam BSKL sebanyak RM7.4 juta dan dalam anak-anak syarikat sebanyak RM4.5 juta. Pelaburan harta tetap YGMB di Pusat Bandar Melawati dengan harga RM2.1 juta dan sebuah bangunan kedai empat tingkat di Seberang Perai dengan harga RM1.38 juta.

Sementara mengikut struktur korporat, YGMB mempunyai 100% Pegangan Guru Malaysia Sdn. Bhd., 20% dalam Permodalan Guru Malaysia Bhd., 55% dalam YGMB-Asha Holidays Sdn. Bhd., 100% dalam Promojati Arif Sdn. Bhd., dan 100% dalam Rata Intelek Sdn. Bhd.

Persoalannya, sebagai ahli seumur hidup, saya dan mungkin juga semua ahli YGMB tidak pernah lagi mendapat maklumat terkini tentang perjalanan YGMB. Mungkin guru-guru terlalu sibuk dengan kerenah pendidikan masa kini hingga terlupa kewujudan YGMB dan YGMB pula mengambil jalan mudah dengan buat bodoh saja.

Sebenarnya saya pun dah tak kisah lagi. Cuma kalau YGMB dah muflis declare sajalah. Keluarkan penyata kewangan dan maklumkan ahli-ahli. Itu pun susah ke? Orang tubuhkan yayasan kita nak tubuhkan yayasan tapi akhirnya tak dapat dikesan. Ada juga ura-ura nak tubuhkan Bank Guru. Tak ada maknanya. Tak payahlah.

Selamat Hari Guru kepada para guru khususnya kepada ahli-ahli YGMB. Ayuh kita bina negara bangsa.

GURU SEMENTARA

Kuala Lumpur

Utusan Malaysia Online: 22 Mei 2009

Tiada ulasan: