Rabu, 27 Mei 2009

Kecut perut tengok sekolah - Nasib malang 800 murid apabila projek sekolah terbengkalai sejak tahun lepas


PEMANDANGAN biasa murid-murid SK Paya Keladi makan di bawah khemah dan tepi longkang selepas projek blok tambahan sekolah terbengkalai sejak tahun lepas.


KEPALA BATAS - Lebih 800 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Keladi di sini terpaksa belajar dalam keadaan bahaya dan tidak selesa selepas projek bangunan tambahan sekolah itu terbengkalai sejak tahun lalu.

Masalah itu semakin merunsingkan ibu bapa apabila mengetahui anak-anak mereka terpaksa makan di bawah khemah atau di tepi longkang selain berkongsi tandas sesama lelaki dan perempuan.

Tidak cukup dengan itu, kawasan tapak projek yang cuma 30 meter dari bangunan sekolah sedia ada, menyebabkan kelas dicemari habuk manakala lubang-lubang yang terbiar menimbulkan ancaman keselamatan.

Disebabkan projek itu tidak disiapkan, pihak sekolah terpaksa mengatur pembelajaran dalam dua sesi.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Mansor Abdul Samat ketika mendedahkannya berkata, masalah itu menyebabkan ada ibu bapa kecut perut memikirkan keadaan anak-anak di sekolah sehingga mereka mengadu hampir setiap hari kepada pihaknya.

"Memanglah belum ada berlaku kemalangan tetapi siapa tahu esok lusa ia (kemalangan) terjadi, Ini menyebabkan kami ibu bapa berasa tertekan,'' katanya di sini semalam.

Menurut beliau, projek blok bangunan sekolah empat tingkat, tandas dan kantin itu sepatutnya siap awal tahun ini selepas tertangguh sejak Oktober lalu.

Namun katanya, kemajuan projek terhenti pada tahap 50 peratus apabila kontraktor menghadapi masalah kewangan ekoran kenaikan harga barang binaan.

Beliau berkata, kos bangunan tambahan, tandas serta kantin itu dianggarkan bernilai lebih RM3 juta dan kontraktor berkenaan telah menerima lebih RM1 juta sebagai bayaran kemajuan projek.

Tambahnya, pembinaan projek itu bermula dengan baik pada September 2007 tetapi ia mula perlahan sekitar Mac tahun lepas dan berhenti sepenuhnya pada Disember.

Utusan Malaysia Online: 27 Mei 2009

Tiada ulasan: