Jumaat, 22 Mei 2009

Kerajaan belum berhasrat wujud Satu Sekolah Untuk Semua

KUALA LUMPUR 21 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan belum bercadang mewujudkan Satu Sekolah Untuk Semua kerana Dasar Pelajaran Kebangsaan sedia ada yang diguna pakai sekarang telah lengkap.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, dasar berkenaan yang telah digunakan sejak puluhan tahun lalu telah mengambil kira pelbagai perbezaan masyarakat majmuk di negara ini mengikut keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

"Cadangan Satu Sekolah Untuk Semua tidak salah tetapi mereka juga harus faham bahawa dasar pelajaran itu telah lama tersedia dan diguna pakai berdasarkan pada falsafah pendidikan negara yang memacu dan memandu generasi lalu dan anak- anak kita.

"Jadi selagi dasar itu masih wujud, maka kita gunakanlah kecualilah ada pihak tertentu yang bercadang untuk mengubahnya, itu perkara lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-51 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengulas kempen komuniti blogger di negara ini untuk mewujudkan kempen Satu Sekolah Untuk Semua bagi melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu-padu pada masa depan.

Mengenai status Laporan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang dibentangkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat pada mesyuarat Kabinet, beliau berkata, ia tidak dibincangkan secara terperinci.

Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta masa yang secukupnya diberikan kepada jemaah menteri untuk membuat penelitian sebelum dibincangkan pada mesyuarat akan datang.

"Sama ada kelak ia akan didedahkan untuk umum atau sebaliknya, saya tidak boleh putuskan kerana setakat ini Kabinet masih tidak mengeluarkan sebarang arahan lanjut," katanya.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini pernah dilaporkan tidak berpuas hati dengan pembangunan PKFZ yang melibatkan kos terlalu tinggi.

Projek PKFZ menimbulkan tanda tanya terutama apabila harga pembelian tanah mencecah RM1.088 bilion dan mengambil kira tempoh pembayaran balik 15 tahun pada kadar faedah 7.5 peratus setahun, kos keseluruhan pembelian tanah meningkat kepada RM1.807 bilion.

PAC pada 13 Mei lalu tidak menolak kemungkinan memanggil seorang bekas menteri untuk memberi keterangan berhubung pembangunan PKFZ.

Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid bagaimanapun berkata, pihaknya hanya akan berbuat demikian jika siasatan mendapati wujud keperluan untuk mendapatkan keterangan lanjut daripada bekas menteri terbabit.

Utusan Malaysia Online: 22 Mei 2009

Tiada ulasan: