Isnin, 11 Mei 2009

Lebih banyak sekolah komprehensif dibuka

BATU PAHAT: Kementerian Pelajaran menggariskan beberapa langkah untuk mengelakkan keciciran murid di luar bandar khususnya kalangan masyarakat Orang Asli di Semenanjung serta peribumi di Sabah dan Sarawak.

Antara langkah itu, membuka lebih banyak Sekolah Komprehensif (K9) yang menyediakan kelas bermula Tahun Satu hingga Tingkatan Tiga di sekolah yang sama.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ketika ini, K9 sudah dilaksanakan di sebuah sekolah di Pahang dan ia dikenal pasti berkesan menggalakkan murid meneruskan pelajaran hingga ke sekolah menengah.

"Ramai anak masyarakat Orang Asli atau peribumi tidak meneruskan pelajaran ke peringkat menengah hanya kerana ibu bapa tidak mahu menghantar mereka ke sekolah yang jauh dari kampung.

"Mereka lebih suka anak bersekolah berdekatan rumah dan apabila melangkah ke sekolah menengah, anak mereka tentunya akan berpindah ke sekolah lain, sebab itulah mereka lebih rela anak belajar setakat tahun enam saja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Batu Pahat Ke-54 di Dewan Jubli Intan, di sini, semalam.

Mohd Puad berkata, ketika ini, tidak ramai anak masyarakat Orang Asli dan pribumi menamatkan persekolahan sehingga Tingkatan Tiga kerana mereka tidak tahan berulang alik dan ada juga yang sering ponteng sekolah.

"Dengan menyediakan kelas bermula Tahun Satu hingga Tingkatan Tiga di sekolah yang sama, saya percaya mereka akan meneruskan pelajaran hingga peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR)," katanya.

Beliau berkata, pendekatan kedua yang akan dilaksanakan pula menghantar guru kalangan masyarakat itu sendiri untuk mengajar di tempat asal mereka.

Katanya, untuk tujuan itu, kementerian akan mengambil anak masyarakat Orang Asli atau peribumi yang memiliki kelayakan minimum untuk dipertimbangkan mengikuti latihan perguruan.

"Mereka akan dilatih kaedah pengajaran dan pembelajaran khusus untuk anak masyarakat mereka sendiri.

"Kementerian percaya pendekatan ini, mampu meningkatkan minat anak masyarakat luar bandar untuk meneruskan persekolahan, tambahan pula mereka dibimbing guru yang memahami kehendak mereka," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kementerian juga akan mengubahsuai Akujanji guru yang dihantar berkhidmat di kawasan luar bandar dengan menetapkan tempoh mereka berkhidmat di kawasan terbabit.

Berita Harian Online: 11 Mei 2009

Tiada ulasan: