Isnin, 18 Mei 2009

Medan perjuangan guru

Alhamdullilah, saya merafakkan rasa syukur setinggi-tingginya ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, sekali lagi kita dapat bersama-sama menjayakan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2009.

Pada pagi yang sungguh bermakna ini, izinkan saya mengucapkan “Selamat Hari Guru” kepada warga guru di seluruh pelosok tanah air dan merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa, pengorbanan dan perjuangan guru-guru dalam mendidik anak bangsa. Untuk kesekian kalinya kita meraikan hari guru sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan tertinggi masyarakat terhadap sumbangan besar kaum guru. Sejak dari awal lagi, guru-guru telah memainkan peranan penting sebagai penyuluh masyarakat.

Mereka tanpa rasa jemu mencurahkan ilmu kepada anak bangsa, menyemai rasa taat setia kepada negara dan memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama dengan satu matlamat untuk membina sebuah negara bangsa yang aman, maju dan makmur. Justeru, tema Hari Guru yang dipilih bagi tahun ini iaitu “Guru Pembina Negara Bangsa” amat bertepatan sekali dengan peranan besar yang digalas oleh guru-guru.

Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, usaha membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu dan harmoni adalah prasyarat utama kepada keupayaan kita untuk memacu kemajuan negara ke tahap yang lebih tinggi. Tidak ada sebuah negara pun yang boleh bergerak maju ke hadapan jika rakyatnya tidak mampu untuk membulatkan tekad dan bergerak seiring selangkah untuk membangunkan negara bangsa.

Keupayaan untuk membina negara bangsa pula amat bergantung kepada sejauh mana nilai-nilai patriotisme, toleransi serta sikap saling hormat menghormati dapat dipupuk dan dikongsi secara bersama oleh setiap lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Nilai-nilai yang seharusnya dikongsi secara bersama ini sudah tentu perlu dipupuk sejak dari bangku sekolah lagi.

Justeru, dalam usaha kita untuk membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu, di bahu para gurulah terletaknya satu amanat besar untuk menyemai nilai-nilai patriotisme, perpaduan dan rasa saling hormat-menghormati di kalangan anak bangsa. Berjaya guru dalam menyemai nilai-nilai murni ini, berjayalah kita dalam membina sebuah negara bangsa yang aman, maju dan makmur.

Penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi di kalangan rakyat merupakan prasyarat utama kepada kecemerlangan bangsa dan negara. Bangsa yang menguasai ilmu akan menjadi bangsa yang maju. Oleh itu, peranan besar para guru ialah untuk melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran tinggi serta mempunyai kepakaran untuk memajukan negara.

Dalam usaha kita untuk melonjakkan pencapaian ekonomi negara ke tahap rantaian nilai yang lebih tinggi, serta menghadapi iklim ekonomi global yang semakin kompetitif, tugas untuk melahirkan modal insan yang berinovasi dan kreatif menjadi lebih mencabar.

Tumpuan kerajaan pada ketika ini ialah untuk mempertingkatkan mutu pendidikan negara dengan memberikan penekanan terhadap aspek inovasi dan kreativiti dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah. Aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum akan memberi penekanan khusus kepada usaha untuk membangunkan potensi daya cipta anak-anak agar mereka mempunyai kebolehan untuk mencipta dan berfikir secara kreatif. Matlamat kita adalah untuk menjadikan keinginan mencipta sebagai satu budaya yang diamalkan oleh anak-anak.

Potensi mereka tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian dalam peperiksaan semata-mata, tetapi dinilai secara holistik dengan merangkumi aspek daya cipta dan kreativiti. Dengan cara ini saya yakin bahawa kita akan berjaya melahirkan modal insan yang kompeten.

Untuk mencapai hasrat ini, Kementerian Pelajaran sedang membangunkan kurikulum yang menumpukan kepada perkembangan potensi pelajar secara holistik dengan memberikan lebih banyak peluang kepada mereka untuk meneroka bidang ilmu melalui proses pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan merangsang minda serta tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata.

Transformasi Kurikulum Kebangsaan bagi sekolah rendah yang akan dilaksanakan tidak lama lagi akan menumpukan pembelajaran dalam disiplin komunikasi, kerohanian, sikap dan nilai, kemanusiaan, ketrampilan diri, fizikal dan estetika, serta literasi sains dan teknologi. Melalui transformasi kurikulum ini, Kementerian Pelajaran berharap agar proses pembelajaran akan menjadi lebih berkesan dan holistik.

Dalam usaha kita untuk melahirkan insan kamil selaras dengan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara, potensi anak-anak kita perlu dibangunkan secara menyeluruh dan seimbang. Ini termasuklah membangunkan potensi jasmani anak-anak yang berkait rapat dengan perkembangan minda mereka.

Jasmani yang sihat menjamin perkembangan minda yang cerdas. Aktiviti sukan merupakan komponen utama dalam proses pembelajaran anak-anak yang akan membantu perkembangan jasmani yang sihat.

Oleh itu, kerajaan akan memberikan penekanan khusus kepada usaha mempergiatkan aktiviti kesukanan dan riadah di sekolah-sekolah sebagai satu usaha untuk membangunkan potensi jasmani anak-anak.

Pihak kerajaan pada ketika ini sedang mengkaji model pembangunan sukan yang paling berkesan untuk diaplikasi di sekolah-sekolah di seluruh negara. Khidmat profesional mungkin akan digunakan di sekolah-sekolah untuk melatih anak-anak dalam bidang sukan yang tertentu. Dengan cara ini kita berharap agar sistem pendidikan kita akan mampu untuk melahirkan juara dalam pelbagai bidang sukan dan sekali gus membantu memajukan industri sukan negara.

Di samping mencurahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran, guru juga bertanggungjawab menerapkan nilai-nilai murni kepada anak-anak. Tugas ini tentu sekali perlu digalas secara bersama oleh guru-guru, ibu bapa dan masyarakat.

Untuk itu, perlu wujud persefahaman antara guru dan ibu bapa untuk mengasuh anak-anak dengan sifat-sifat terpuji. Sebagaimana ibu bapa, guru-guru juga perlu menjadi role model kepada anak-anak.

Sekiranya tanggungjawab ini boleh dilaksanakan dengan baik, saya yakin bahawa kita akan mampu untuk mengatasi masalah disiplin di sekolah-sekolah serta mengurangkan gejala antisosial dalam masyarakat, terutamanya di kalangan generasi muda.

Guru juga menggalas amanah penting untuk menyemai dan mengukuhkan sanjungan terhadap bahasa, seni, warisan serta budaya bangsa dalam jiwa anak-anak.

Kita perlu ingat bahawa bahasa adalah jiwa bangsa. Luntur bahasa, lunturlah jiwa bangsa. Untuk itu kerajaan sentiasa komited untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.

Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan di negara kita perlu menjadi teras kepada jiwa negara bangsa yang ingin kita bina. Bahasa Melayu juga perlu diperkasakan sebagai bahasa perpaduan yang menyatukan setiap rumpun masyarakat yang ada di negara kita.

Pada masa yang sama, kerajaan juga komited untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar untuk menjadikan mereka lebih kompeten dalam menghadapi persaingan globalisasi yang semakin mencabar.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu di samping mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan latihan perguruan berfokus kepada bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kampus Bahasa Melayu.

Latihan perguruan berfokus kepada bahasa Inggeris akan dijalankan di empat Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) iaitu di IPGM Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur; IPGM Kampus Gaya, Kota Kinabalu; IPGM Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu; dan IPGM Kampus Batu Lintang, Kuching.

Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) juga diwujudkan bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme guru termasuk memartabatkan bahasa Melayu dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Kursus dalam perkhidmatan untuk bahasa Inggeris diperkukuhkan lagi di English Language Teaching Centre (ELTC) yang akan menjadi nadi kepada latihan dalam perkhidmatan bagi guru-guru Bahasa Inggeris.

Kerajaan juga sentiasa prihatin untuk memastikan sektor pendidikan negara terus diberikan keutamaan, khususnya untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Pada tahun 2009 sejumlah RM3.406 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran untuk membiayai 21 jenis bantuan kepada murid-murid dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Ini termasuklah RM254.92 juta bagi Rancangan Makanan Tambahan; RM1.142 bilion bagi bantuan makanan asrama, RM255 juta bagi Skim Bantuan Tuisyen, RM180 juta bagi Skim Pinjaman Buku Teks, RM400 juta untuk Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan lebih RM270 juta untuk pemberian biasiswa pendidikan.

Guru-guru kita telah memberikan sumbangan yang besar kepada kejayaan kita pada hari ini. Tanpa sumbangan guru-guru, kita sudah tentu tidak berada di sini pada hari ini.

Walau siapa pun kita pada hari ini, ingatlah jasa, pengorbanan dan perjuangan guru-guru yang telah mendidik kita semua menjadi insan yang berjaya. Tanpa rasa jemu mereka telah memerah keringat, berkorban masa dan mengharungi pelbagai cabaran demi menyempurnakan amanah mendidik anak bangsa.

Di mana saja mereka berada, baik di bandar mahupun di desa, para guru sentiasa bersedia untuk mencurahkan khidmat bakti. Di hati para guru hanyalah satu matlamat.

Setiap murid perlu ditingkatkan kemampuan inteleknya, dibina akhlak peribadinya, dikukuhkan jati dirinya untuk menjadi insan yang seimbang dan warganegara yang baik. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua guru. Tidak dinafikan bahawa kebajikan guru serta peluang laluan kerjaya menjadi faktor utama motivasi guru untuk terus menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara. Rungutan guru tentang bebanan tugas yang terlalu berat perlu diteliti agar ia tidak menjejaskan motivasi guru untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.

Menyedari betapa pentingnya aspek kebajikan guru serta insentif yang boleh mendorong mereka untuk terus mengamalkan budaya kerja yang cemerlang, saya ingin mengumumkan keputusan kerajaan mengenai prospek laluan kerjaya bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).

Sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada guru-guru, kerajaan telah meluluskan pertambahan kuota guru dan Pengetua Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di Sekolah Menengah.

* Guru Cemerlang Gred Khas C ditambah daripada 24 kepada 36,

* Guru Cemerlang Gred DG54 ditambah daripada 100 kepada 134,

* Guru Cemerlang Gred DG52 ditambah daripada 250 kepada 336,

* Guru Cemerlang Gred DG 48 ditambah daripada 1,000 kepada 1,345,

* Guru Cemerlang Gred DG44 ditambah daripada 4,000 kepada 5,379.

* Pengetua Cemerlang Gred JUSA C daripada 10 kepada 20 jawatan, iaitu pertambahan 100 peratus,

* Pengetua Cemerlang Gred DG54 pula ditambah daripada 200 kepada 475 jawatan; dan

* Pengetua Cemelrang Gred DG52 dikekalkan sebanyak 400 jawatan.

Selain daripada itu, kerajaan juga telah bersetuju mewujudkan beberapa jawatan Guru Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah yang berkhidmat di sekolah rendah iaitu:

* Guru Cemerlang Gred DG48 sebanyak 173 jawatan, dan

* Guru Cemerlang Gred DG44 sebanyak 1,737 jawatan.

Pegawai Perkhidmatan Bukan Siswazah juga akan menikmati laluan kerjaya yang sama apabila kerajaan selesai melakukan kajian mengenainya tidak lama lagi.

Selaras dengan hasrat untuk mewujudkan masyarakat penyayang, kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) kepada pasangan pegawai yang turut berkhidmat di sekolah-sekolah pedalaman. Tarikh berkuat kuasa pemanjangan elaun ini dikebelakangkan mulai 1 Mac 2009.

Kerajaan juga menghargai pengorbanan yang telah diberikan oleh Anggota Khidmat Sokongan, terutamanya Pembantu Pengurusan Murid (PPM).

Justeru, sukacita saya memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk membuat Bayaran Insentif Pembantu Pengurusan Murid (BIPPM) sebanyak RM200 sebulan kepada Pembantu Pengurusan Murid yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. Tarikh kuat kuasa Bayaran Insentif ini juga telah dikebelakangkan mulai 1 Januari 2009.

Setelah saya memaklumkan beberapa keputusan kerajaan berhubung dengan insentif perkhidmatan kepada guru-guru, izinkan pula saya menyampaikan beberapa amanat penting.

Mendidik anak bangsa adalah tugas yang amat mulia. Saya berharap, usaha murni ini akan terus dilaksanakan dengan penuh dedikasi agar kita berjaya membina sebuah negara bangsa yang aman, maju dan makmur.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru seluruh warga pendidik supaya terus gigih berusaha dan bekerja sebagai satu pasukan. Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas dan jadikan profesion perguruan sebagai medan perjuangan untuk memajukan anak bangsa.

Kepada guru-guru yang dinobatkan sebagai Tokoh Guru pada tahun ini, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan. Sesungguhnya budi anda mendidik anak bangsa akan sentiasa disanjung oleh masyarakat.

Harum sungguh bunga melati

Kembang setangkai di ruang laman

Budi guru kita hargai

Jadi sanjungan sepanjang zaman

Selamat Menyambut Hari Guru!

Terima Kasih Cikgu!

Utusan Malaysia Online: 18 Mei 2009

Tiada ulasan: