Khamis, 28 Mei 2009

Murid tujuh tahun dirogol di sekolah

Oleh Hamid Salleh
bhkt@bharian.com.my

Mangsa ditarik tukang kebun ke dalam stor

KUALA TERENGGANU: Rahsia tukang kebun merogol seorang murid perempuan berusia tujuh tahun pada sambutan Hari Guru 19 Mei lalu di sebuah sekolah di Permaisuri, Setiu, terbongkar apabila mangsa menceritakan peristiwa hitam itu kepada gurunya, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 10 pagi itu, mangsa dikatakan keluar daripada majlis sambutan Hari Guru di dewan sekolah seorang diri untuk ke tandas, sebelum dia ditarik oleh suspek ke dalam stor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner, Mohd Fauzi Abduri, berkata suspek kemudian bertindak membuka baju dan merebahkan mangsa ke lantai sebelum merogolnya.

Beliau berkata, selepas selesai melakukan kerja terkutuk itu, suspek turut mengugut supaya mangsa tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa.

Katanya, mangsa yang takut dengan amaran suspek itu bertindak mendiamkan diri dan tidak menceritakan kejadian itu kepada guru atau keluarganya.

Mohd Fauzi berkata, selepas tertekan dan trauma dengan kejadian itu, mangsa yang sering ketakutan dan bimbang kejadian itu berulang lagi, kemudian menceritakan kejadian dia dirogol oleh tukang kebun kepada seorang guru di sekolahnya.

Katanya, guru berkenaan kemudian bergegas ke rumah mangsa dan menceritakan kejadian menimpa kanak-kanak terbabit kepada keluarganya..

“Bapa mangsa berusia 40 tahun kemudian membuat laporan di Balai Polis Permaisuri kira-kira jam 2.30 petang kelmarin. Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan lanjut dan polis masih menunggu keputusan daripada hospital," katanya.

Mohd Fauzi berkata, polis menahan suspek berusia 33, yang berasal dari Kampung Bari Kecil, Setiu, di tempat kerjanya pada jam 6 petang, kelmarin dan kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan.

Berita Harian Online: 28 Mei 2009

Tiada ulasan: