Rabu, 6 Mei 2009

Pembaikan sistem pembelajaran


MUHYIDDIN Yassin bersalam dengan sebahagian daripada Ketua Pengarah Pelajaran Negeri sambil diperhatikan oleh Alimuddin Mohd. Dom (kiri) pada perhimpunan bulanan Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 5 Mei - Kerajaan akan menilai sejauh mana pencapaian Dasar Pendidikan Negara bagi memastikan matlamat asalnya tidak tersasar selain membolehkan rakyat menerima sistem pembelajaran berkualiti.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses penilaian tersebut melibatkan pakar-pakar pendidikan dari dalam dan luar negara di mana mereka akan memberi cadangan untuk penambahbaikan sekiranya terdapat sebarang kelemahan.

''Kerajaan akan membuat kajian untuk menilai pencapaian mutu pendidikan negara dalam mencapai matlamat sebenarnya.

''Mungkin ada kekurangan dari segi keupayaan pentadbiran, pelajar atau sebagainya yang boleh dijadikan panduan untuk meningkatkan mutu pendidikan," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

Beliau ditemui pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Majlis tersebut merupakan yang pertama sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran pada 9 April lalu.

Turut hadir timbalannya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr. Zulkarnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.

Menurut Muhyiddin, antara yang akan diberi tumpuan adalah melahirkan budaya pemikiran kreatif dan inovatif di kalangan tenaga pengajar dan pelajar di sekolah-sekolah dengan memberi pengiktirafan sebagai ganjaran.

Mengulas cadangan supaya kandungan buku mata pelajaran Sejarah di sekolah ditulis semula kerana dikatakan tidak menceritakan sumbangan pelbagai kaum dalam pembentukan negara, Muhyiddin berkata, beliau sentiasa terbuka untuk menerima sebarang pandangan.

Bagaimanapun, jelas beliau, sebarang penambahan fakta dalam buku berkenaan perlu memenuhi prinsip-prinsip tertentu.

''Apa yang penting adalah kandungan dalam buku tersebut memberikan gambaran tepat dan benar," katanya.

Terdahulu dalam amanat sulungnya selaku Menteri Pelajaran, beliau mengingatkan warga Kementerian Pelajaran supaya sentiasa menekankan aspek pengurusan masa supaya setiap perancangan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, jika setiap perancangan itu gagal mengikut jadual, sudah pasti ia memberi kesan terhadap sistem pendidikan seterusnya turut dirasai rakyat.

Kata beliau: ''Saya sedar ia amat mencabar untuk dilaksanakan tapi tugas yang berat jika dipikul bersama-sama, pasti berjaya."

Utusan Malaysia Online: 6 Mei 2009

Tiada ulasan: