Selasa, 26 Mei 2009

Pemimpin, pendidik digesa rangka pendidikan terbaik

GEORGETOWN: Timbalan Perdana Menteri mahu pemimpin dan pengamal pendidikan merangka satu penanda aras amalan pendidikan terbaik berikutan perubahan drastik ekonomi serta pembangunan teknologi di rantau ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, berkata penanda aras itu, antara lain memberi penekanan khusus untuk memperbaiki aspek inovasi dan kreativiti dalam sistem pendidikan.

"Ini sejajar dengan objektif kita untuk menyediakan serta membangunkan modal insan yang berdaya saing melalui sistem pendidikan.

"Ini dapat membantu kerajaan dan pembuat dasar untuk memacu sistem pendidikan mengikut acuan yang betul ke arah kecemerlangan," katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia Ke- 48 serta Persidangan dan Forum Pengetua Asia Tenggara Ke-2 di Batu Feringgi di sini, malam tadi.

Muhyiddin juga mengajak warga pendidik supaya bersama-sama membulatkan tekad dan memperteguhkan muafakat untuk mendidik anak bangsa supaya memahami serta menghayati asas perpaduan negara selaras konsep 1Malaysia.

"Dalam hal ini, pengetua dan guru sebagai pemimpin di sekolah wajar mengambil inisiatif mempergiatkan usaha menyemai serta menyuburkan semangat perpaduan di kalangan pelajar.

"Program kenegaraan seperti Hari Kebangsaan perlu diberikan nafas baru untuk membangkitkan semangat patriotisme serta perpaduan di kalangan pelajar," katanya.

Beliau juga melahirkan harapan supaya persidangan itu bukan saja membincangkan kaedah terbaik bagi memupuk semangat perpaduan, malah menyediakan satu mekanisme khusus untuk meningkatkan kecekapan dan kecemerlangan sekolah.

"Perancangan yang teliti perlu dilakukan oleh kepemimpinan sekolah untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan membolehkan guru memacu kecemerlangan pendidikan negara ke tahap lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, pada sidang media selepas itu, Muhyiddin berkata, kementeriannya akan mempertimbangkan permintaan Persatuan Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSM) untuk menaikkan elaun tanggung-jawab daripada RM150 kepada RM600.

"Ya... memang kami menyedari permintaan mereka yang mahukan elaun itu dinaikkan. Kami akan mengkajinya yang antaranya melihat kepada kemampuan kerajaan dalam menaikkan kadar elaun," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Yang Dipertua PKPSM, Azam Md Atan, mencadangkan supaya kerajaan menaikkan elaun itu yang tidak dinaikkan sejak 15 tahun lalu.

Berita Harian Online: 26 Mei 2009

Tiada ulasan: