Isnin, 11 Mei 2009

Pendidik perlu jadikan 1Malaysia inspirasi laksana tanggungjawab

SEMANGAT 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' wajar dijadikan inspirasi golongan guru dalam menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa dengan penuh komitmen.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata dalam konteks guru, konsep 1Malaysia yang menjadi teras pentadbiran baru negara, ia boleh diterjemahkan sebagai kewajaran pendidik mengutamakan tanggungjawab kepada pelajar tanpa mengira fahaman politik dan perbezaan individu.

“Sambutan Hari Guru tahun ini amat bermakna kerana ia dirai bersama Menteri Pelajaran baru yang juga Timbalan Perdana Menteri.

“Diharap golongan pendidik meraikan detik bersejarah ini dengan lebih bersemangat untuk menjalankan wawasan kepemimpinan negara yang baru dalam konteks 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya.

Mohamad Ali berkata, salah satu kaedah bagi memastikan tanggungjawab itu dapat dilaksanakan sebaiknya ialah setiap guru mewujudkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) secara individu dan di peringkat sekolah.

Katanya, antara KPI yang perlu diambil kira bukan saja mementingkan pembelajaran akademik, malah sahsiah pelajar serta berazam menjadi role model yang boleh dicontohi pelajar dalam semua aspek.

Berita Harian Online: 11 Mei 2009

Tiada ulasan: