Sabtu, 9 Mei 2009

Pengetua jangan lindungi penjenayah


MOHAMED Zulmazi (dua dari kanan) dan Mohamad Nazri (tengah) bergambar dengan para Pengetua Sekolah Menengah Daerah Temerloh dan pegawai perhubungan sekolah di Temerloh, baru-baru ini.


TEMERLOH 8 Mei - Pengetua dan guru diminta tidak melindungi pelajar yang terbabit dalam perbuatan salah laku semata-mata mahu menjaga nama baik dan imej sekolah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Supritendan Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, tindakan sedemikian tidak membantu menangani masalah disiplin pelajar terutama yang terbabit dengan kes buli dan samseng.

Menurutnya, pihak sekolah perlu telus dan bertindak tegas supaya kes-kes pergaduhan dan buli dapat dibendung dan tidak berulang.

''Kalau kita menyembunyikan kes-kes buli dan gangsterisme daripada diketahui pihak luar, masalah sama terus berulang dan akhirnya menjadi gejala yang sukar dikawal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis permuafakatan antara para pengetua sekolah menengah di daerah Temerloh dengan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di sini kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah, Mohamad Nazri Abdul Wahab.

Menurut Mohamed Zulmazi, tindakan seperti 'menyapu sampah di bawah tikar' tidak sepatutnya dilakukan kerana lambat laun masalah itu akan terbongkar, sekali gus memberi persepsi negatif kepada masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berharap pelantikan dan kehadiran PPS yang terdiri daripada pegawai polis berpangkat inspektor dapat membendung dan membantu pihak sekolah menangani masalah disiplin di kalangan pelajar.

Katanya, pihak sekolah dan PPS perlu mempunyai hubungan rapat selain lebih banyak mengadakan program pencegahan jenayah, sesi kaunseling, ceramah, risalah dan kesedaran sosial.

''PPS dan pihak sekolah perlu memberi nasihat kepada pelajar yang terbabit dengan kesalahan jenayah. Ibu bapa pelajar terbabit dan PPS juga perlu hadir mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Zulmazi memberitahu, masalah gangsterisme di tiga sekolah di Mentakab sebenarnya tidak wujud sebagaimana dilaporkan media baru-baru ini.

Kata beliau, hasil siasatan polis mendapati para pelajar terbabit tidak menganggotai mana-mana kumpulan kongsi gelap di Mentakab.

''Mereka hanya mendakwa menjadi ahli kongsi gelap semata-mata bertujuan menakut-nakutkan pelajar lain agar mengikut arahan dan ugutan mereka," jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 9 Mei 2009

Tiada ulasan: