Isnin, 25 Mei 2009

Polis cari guru kes simbah asid

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
bhkb@bharian.com.my


RAJAB Abu Bakar, 70, (kiri) melihat kesan simbahan asid pada badan anaknya Mohd Rizal dalam kejadian di Lemal, Pasir Mas, awal pagi kelmarin.

Mangsa syak suami majikannya cemburu

PASIR MAS: Seorang guru kini diburu polis kerana disyaki terbabit menyimbah asid terhadap seorang pekerja pusat memproses ayam dekat Lemal di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Haliluddin Rahim, berkata pihaknya sudah mengenal pasti identiti guru terbabit yang menghilangkan diri sejak selepas serangan itu.

"Polis sedang mengesan suspek walaupun sudah melarikan diri selepas kejadian dan dia dipercayai masih berada di sekitar jajahan ini.

"Serangan asid itu dipercayai bermotifkan cemburu. Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera parah dengan bahan berbahaya," katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi kelmarin, mangsa, Mohd Rizal Rajab, 31, melecur di telinga kanan, leher dan bahu sebaik terkena simbahan asid yang diguna penyerangnya.

Mohd Rizal berkata, dalam kejadian awal pagi itu, beliau dan bersama seorang abangnya dan beberapa pekerja lain sedang memproses ayam untuk dijual mulai jam 3 pagi.

"Ketika saya keluar untuk ambil barang di luar kedai, secara tiba-tiba seorang lelaki yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda keluar menyimbah sesuatu ke arah saya.

"Cecair disimbah terkena telinga, leher dan bahu menyebabkan saya melecur. Nasib baik saya sempat mengelak daripada terkena mata," katanya.

Mohd Rizal yang baru dua bulan bekerja di premis terbabit, berkata sebelum ini dia pernah terserempak dengan lelaki terbabit, tetapi tidak mengenalinya.

"Namun, saya mengesyaki lelaki terbabit adalah suami kepada majikan saya kerana selepas kejadian itu, majikan saya turut mendakwa suaminya terbabit dalam kejadian ini," katanya.

Utusan Malaysia Online: 25 Mei 2009

Tiada ulasan: