Isnin, 11 Mei 2009

Rotanlah jika mampu membentuk disiplin pelajar

HUKUMAN rotan akan "kembali" ke sekolah tidak lama lagi. Hukuman itu akan diperkenalkan semula untuk "menundukkan" pelajar yang tahap disiplin mereka semakin meruncing.

Ketika ini masalah perlanggaran disiplin, pergaduhan dan buli di sekolah semakin menjadi-jadi. Akhirnya hukuman tradisi yang pernah digunakan untuk mendisiplinkan pelajar sebelum era alaf baru ini terpaksa diperkenalkan semula.

Namun seperti kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi, hukuman rotan tersebut masih di peringkat cadangan.

Ia baru dikemukakan kepada pejabat Peguam Negara untuk mendapat maklum balas. Hukuman itu hanya akan dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara - yang akan memberi maklum balas sebelum akhir tahun ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu sudah cukup untuk menceritakan bagaimana meruncingnya masalah disiplin di kalangan pelajar ketika ini. Bayangkan keruntuhan disiplin pelajar terpaksa diatasi dengan hukuman yang memerlukan kelulusan Peguam Negara!

Walaupun jumlah pelajar yang menjadi "epal busuk" itu tidaklah ramai berbanding pelajar yang berdisiplin tinggi, namun kerenah yang dicetuskan oleh mereka amat menyesakkan dada.

Mungkin ramai yang terfikir, kenapa sehingga ke Peguam Negara? Jawapannya mudah. Situasi masa kini tidak sama dengan keadaan di sekolah 20 atau 30 tahun lalu. Sikap ibu bapa ketika itu dengan ibu bapa di zaman siber ini ketara berbeza.

Ramai ibu bapa di zaman ini tidak boleh menerima teguran atau laporan guru bahawa anak-anak mereka nakal. Malah ada yang sanggup menempelak malah 'menyerang' guru demi mempertahankan anak-anak yang disifatkan mereka terlalu baik.

Dan, ketika ramai ibu bapa yang menyuarakan sokongan agar pelaksanaan hukuman rotan diperkenalkan semula, tidak kurang yang membantah. Golongan itu termasuklah peguam dan aktivis hak asasi manusia.

Bagi mereka, hukuman rotan bukan jawapan untuk mengatasi masalah disiplin. Mereka mendesak guru menggunakan pendekatan menerusi kaunseling kerana hukuman rotan dianggap melanggar hak asasi pelajar.

Namun pada masa yang sama, golongan ini sebenarnya secara tidak langsung telah mengenepikan hak asasi pelajar yang menjadi mangsa buli berkenaan.

Jadi, demi memastikan keadilah semua pihak, kelulusan Peguam Negara diperlukan. Langkah Kementerian Pelajaran tersebut lebih kepada sikap berhati-hati.

Guru disiplin yang akan melaksanakan hukuman rotan itu nanti terpaksa mematuhi prosedur yang ditetapkan. Mereka tidak boleh merotan sewenang-wenang.

Namun walau apa sahaja bentuk hukuman, ia perlu disegerakan. Pelaksanaannya juga mesti dilakukan dengan serius.

Masalah disipilin pelajar ketika ini bukan satu perkara yang boleh dipandang sebelah mata. Bayangkan jika masalah disiplin itu tidak diatasi dan ia berlanjutan sehingga mereka dewasa. Jadi, sekiranya hukuman lebih berat termasuk rotan boleh mengatasi masalah disiplin, laksanakanlah segera.

Utusan Malaysia: 11 Mei 2009

Tiada ulasan: