Ahad, 17 Mei 2009

Sekolah digalak tubuh alumni

SEREMBAN 16 Mei - Setiap sekolah di negeri ini digalakkan untuk menubuhkan persatuan alumni masing- masing supaya saling bekerjasama dalam membantu serta membangunkan institusi pendidikan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah berkenaan merupakan usaha yang baik dalam memastikan bekas-bekas pelajar bersatu hati untuk membantu mengurangkan bebanan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menyediakan bantuan pembelajaran.

''Ini kerana, alumni memainkan peranan yang penting bagi membantu pihak sekolah dengan menyalurkan bantuan dari segi keperluan dan kemudahan khusus untuk membangunkan pendidikan para pelajar.

''Selain itu, usaha ini juga merupakan salah satu cara untuk kita mengenang jasa sekolah dan guru yang selama ini telah mendidik serta menerapkan ilmu tanpa rasa jemu kepada para pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena sambutan Hari Guru pada majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Pelajar Miskin Sekolah Menengah Tunku Ampuan Durah, di sini semalam.

Mohamad yang juga merupakan bekas pelajar dan ahli alumni sekolah berkenaan memberitahu, beberapa alumni sekolah di sekitar negeri ini didapati bergerak aktif dan ia merupakan satu perkembangan yang baik dan positif.

Sementara itu, beliau juga turut mengucapkan selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik yang telah berkorban untuk menyemai ilmu kepada para pelajar.

''Saya amat terhutang budi kepada guru-guru yang telah banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar sehingga berjaya menjadi orang yang berguna hari ini," ujar Mohamad.

Utusan Malaysia Online: 17 Mei 2009

Tiada ulasan: