Rabu, 13 Mei 2009

Sekolah Terbilang: Menuju gemilang 2015

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my


SJI yang dinobatkan sebagai sekolah kluster sejak 2007 melahirkan ramai tokoh pemimpin termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

SJI lahir ramai tokoh pemimpin negara, sasar jadi sekolah kluster bertaraf dunia

SEJAK ditubuhkan 105 tahun lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan St John (SJI) Kuala Lumpur mencatatkan pelbagai kejayaan membanggakan sama ada dalam bidang akademik, sukan dan unit beruniform, malah persatuan alumninya aktif membantu menjana kecemerlangan institusi itu mencapai sasaran menjadi sekolah kluster bertaraf dunia menjelang 2015.

Bermula dengan 70 pelajar sekolah yang dinobatkan memiliki bangunan warisan Kuala Lumpur pada 1986 itu mempunyai kira-kira 1,300 pelajar di bawah kepemimpinan pengetuanya, Peter Yii Sing Chiu.

Beliau berkata, sebagai institusi bantuan modal, SJI sentiasa berusaha mengumpul dana, namun dengan sokongan berterusan Persatuan Alumni St John (SJAA) serta Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), pihaknya dapat membangunkan infrastruktur, selain meneruskan kegiatan sekolah dengan jayanya.

Katanya, antaranya termasuk pembangunan sukan dan kokurikulum membabitkan pancaragam, lawan pedang, memanah, bola sepak, ragbi, bola keranjang dan olahraga.

"SJAA bukan hanya membantu dari segi kewangan, malah menyediakan kelengkapan seperti pakaian, peralatan dan juga jurulatih pancaragam dari Indonesia.

Peter Yii Sing Chiu

"PIBG pula membantu dari segi pelaksanaan semua kegiatan dijalankan di mana mereka akan menghantar wakil bagi memantau kualiti seterusnya memberi dorongan kepada pelajari," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Peter berkata, di bawah naungan Pengerusi SJAA, Datuk Zulkifli Ishak dan Yang Dipertua PIBG, Datuk Abdullah Mohaiddin, dua badan itu aktif membantu sekolah melahirkan pelajar cemerlang akademik dan kokurikulum.

"Antara pencapaian dicapai tahun lalu termasuk memenangi pingat perak di Kejohanan Goalball di Sukan Asean Paralimpik di Korat, Thailand, tempat ketiga di Cabaran Perahu Layar Antarabangsa Kelima Optmist Regatta di Labuan dan mewakili Malaysia di Kejohanan Hoki Jemputan Antarabangsa 14 Negara Bawah 16 Tahun di Mannheim, Jerman.

"Kegiatan seperti pidato, bahas, drama Bahasa Inggeris, gimnastik, pancaragam, sukan lompat tali, boling tenpin, golf, skuash serta Pengakap dan Persatuan Bulan Sabit Merah turut menempa kejayaan sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.

GURU SJI memberi komitmen padu bagi mengekalkan tradisi kecemerlangan institusi itu dalam akademik dan kokurikulum.

Institusi itu sememangnya terkenal kerana mencatat keputusan cemerlang akademik di kalangan sekolah-sekolah Kuala Lumpur terutama peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Peter berkata, sejak empat tahun lalu, sekolah itu mencatat prestasi memberangsangkan termasuk merangkul Anugerah Pelajar Cemerlang STPM kategori kurang upaya selama tiga tahun berturut-turut sejak 2006.

Bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), peratusan kelulusan sekolah itu juga cemerlang sejak lima tahun lalu di mana 10 hingga 20 calon mendapat semua A, begitu juga peratus kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Di peringkat PMR, kami mencatat 29 hingga 40 calon mendapat semua A sejak lima tahun lalu.

"Kami membuat penilaian dalam pengambilan pelajar berdasarkan pencapaian akademik dan kebitaraan sukan.

Sebagai sekolah tertua, warga SJI harus berbangga kerana mempunyai tradisi tersendiri dalam menghasilkan pelajar cemerlang seterusnya bergelar pemimpin negara.

Antara nama besar yang pernah mendapat pendidikan si institusi itu termasuk Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Berita Harian Online: 13 Mei 2009

Tiada ulasan: