Ahad, 24 Mei 2009

Sesi sekolah seperti biasa

ALOR SETAR 23 Mei - Sesi persekolahan bagi para pelajar yang tidak terkena jangkitan saluran pernafasan di Sekolah Model Khas, Bukit Jenun, Pendang akan diteruskan seperti biasa esok.

Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abd. Rahman berkata, setakat ini hanya 53 pelajar sekolah berkenaan terkena jangkitan tersebut dan ia tidak membimbangkan.

"Esok sesi pembelajaran akan berjalan seperti biasa dan ibu bapa tidak perlu risau kerana para pelajar yang terlibat telah disahkan hanya menghidap selesema biasa.

"Pelajar-pelajar yang masih belum sembuh sepenuhnya akan dikuarantin bagi mengelakkan selesema tersebut berjangkit kepada pelajar lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kira-kira 53 pelajar dari sekolah ersebut dimasukkan ke Hospital Alor Setar (HAS) serta Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini awal minggu ini akibat jangkitan saluran pernafasan.

Kesemua pelajar terbabit mendapat gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, sakit kepala, selesema, loya serta muntah.

Ujian makmal yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan juga telah mengesahkan ia berpunca daripada jangkitan virus influenza A bermusim dan tidak berkaitan dengan jangkitan influenza A (H1N1).

Menurut Shahidan, pihaknya juga telah mengarahkan pentadbiran sekolah berkenaan meningkatkan tahap kebersihan di kawasan sekolah tersebut seperti di asrama serta kantin.

Utusan Malaysia Online: 24 Mei 2009

Tiada ulasan: