Isnin, 25 Mei 2009

Sikap guru perlu ditegur


Abdul Aziz Abdul Latiff (dua dari kiri) bersama Adnan Yaakob dan Abdullah Abdul Kadir (dua dari kanan) selepas sambutan Perayaan Hari Guru Negeri Pahang di Maran, Pahang, kelmarin.


MARAN 24 Mei - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menegur sikap segelintir guru yang menanamkan ideologi politik di kalangan pelajar di sekolah.

Tegas beliau, tindakan seumpama itu akan menimbulkan suasana tidak harmoni di sekolah.

Menurutnya, sebagai guru mereka sepatutnya mendokong aspirasi negara sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan modal insan berkualiti.

''Pendidik perlu menjayakan semua aktiviti dan program di sekolah atas nama kepentingan pendidikan dan bukan atas kepentingan politik atau peribadi," katanya ketika berucap merasmikan sambutan perayaan Hari Guru peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Maran di sini semalam.

Pada majlis itu, bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran, Datuk Abdullah Abdul Kadir dipilih sebagai Tokoh Guru Pahang 2009.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Mutalib, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff dan Pegawai Pelajaran Daerah, Rosdi Ismail.

Adnan berkata, guru bertanggungjawab membangunkan minda pelajar sejajar dengan ajaran agama, norma-norma masyarakat dan prinsip Rukun Negara.

''Guru tidak wajar membiarkan pelajar berkembang atas kebebasan sendiri atau mengikut perubahan zaman tanpa mengambil kira cabaran dan keperluan masa depan mereka," katanya

Dalam pada itu, beliau mahu guru menumpukan usaha memperkasa bahasa kebangsaan yang menjadi asas perpaduan kaum di negara ini.

''Ia selaras dengan konsep Satu Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," jelasnya.

Beliau juga mahu guru menumpukan perhatian kepada masalah disiplin pelajar yang semakin meruncing pada masa ini.

''Kejayaan seseorang guru juga diukur berdasarkan kemampuan mereka menangani masalah disiplin pelajar," katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran bagi menganjurkan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang dirancang diadakan di Pahang tahun depan.

Beliau berharap sambutan itu dapat diadakan dengan lebih meriah kerana ia dijangka dirasmikan Perdana Menteri.

Utusan Malaysia Online: 25 Mei 2009

Tiada ulasan: