Rabu, 13 Mei 2009

SM St. Mark tiada padang bersukan

BUTTERWORTH 12 Mei – Para pelajar Sekolah Menengah St. Mark dan beberapa sekolah sekitar Bagan Ajam, di sini kini tidak mempunyai padang bagi menjalankan pelbagai aktiviti dan acara sukan tahunan.

‘Kehilangan’ padang sekolah itu ekoran tapak terbabit yang selama ini menjadi tempat pelajar sekolah menjalani latihan sukan telah dijual kepada sebuah syarikat pemaju untuk dibangunkan.

Sehubungan itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa - Guru (PIBG) sekolah tersebut, Khalid Omar, merayu Kementerian Pelajaran supaya berbuat sesuatu agar padang sekolah itu dapat dikembalikan.

“Kita difahamkan, beberapa tahun lalu, sebidang tanah yang terletak berhampiran sekolah ini dijadikan padang sekolah tetapi malangnya ia telah dijual kepada sebuah syarikat pemaju perumahan swasta.

“Padang itu bukan sahaja digunakan oleh pelajar dari Sekolah Menengah St. Mark tetapi juga turut digunakan oleh murid-murid dari sekolah berdekatan untuk acara sukan,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata, pihak pemaju perumahan sudahpun mendapat kebenaran daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tahun lepas untuk dimajukan.

Menurut beliau, sebagai usaha terakhir, pihak PIBG telah menghantar sepucuk surat pada 30 April lalu kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelesaikan masalah itu.

Sementara itu, pengetua sekolah, K. Ramasamy berkata, pelajar terpaksa menggunakan kompleks Sukan Bertam di Kepala Batas yang jauhnya 10 kilometer untuk aktiviti sukan.

Utusan Malaysia Online: 13 Mei 2009

Tiada ulasan: