Selasa, 12 Mei 2009

SRJKC Tiang Dua diwajib pakai topeng keselamatan

MELAKA: Murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Tiang Dua, diwajibkan memakai topeng semalam, sebagai langkah keselamatan susulan merebaknya wabak meningitis atau radang selaput otak di Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang letaknya tidak jauh dari situ.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah itu, Lim Ah Kow, berkata sebanyak 200 topeng muka diedarkan secara percuma kepada murid sekolah itu, selain 12 tenaga pengajar serta kakitangan sebaik sesi persekolahan bermula awal pagi semalam.

Katanya, langkah itu diambil selepas pihaknya mengadakan mesyuarat khas dengan ibu bapa murid susulan majoriti mereka menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan wabak berkenaan akan turut menular ke kawasan persekitaran akademi itu.

"Ibu bapa murid terbabit melahirkan kebimbangan kemungkinan wabak itu boleh merebak ke atas anak mereka. Selepas bermesyuarat malam tadi (kelmarin), kami setuju membeli topeng muka dan mengedarkannya kepada semua murid mulai hari persekolahan hari ini (semalam)," katanya ketika ditemui, dekat sini, semalam.

Sementara itu, seorang bapa murid sekolah berkenaan, Razali Muhammad, 49, kesal kerana Jabatan Penerangan gagal memberikan hebahan secukupnya mengenai wabak berkenaan di Tiang Dua dan Ayer Molek.

"Perkhidmatan Jabatan Penerangan ketika ini agak lembap berbanding zaman saya kecil dulu. Pada masa itu, setiap kali ada hal penting berlaku, pegawainya akan masuk kampung memberikan penerangan," katanya.

"Memang diakui zaman berubah, tapi tidak semua orang memiliki kemudahan teknologi maklumat atau mampu membeli akhbar untuk mengetahui langkah pencegahan penyakit berkenaan,'' katanya.

Razali meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Md Yunos Husin membuka bilik gerakan segera bagi memudahkan penduduk kampung mendapat maklumat.

Berita Harian Online: 12 Mei 2009

Tiada ulasan: