Ahad, 24 Mei 2009

STU terkilan pengambilan guru KPLI berkurangan

KUCHING 23 Mei - Kesatuan Guru Sarawak (STU) terkilan ekoran pengambilan guru dari negeri ini untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sedikit berbanding bilangan yang memohon tahun lalu.

Presidennya, William Ghani Bina berkata, tahun lalu, daripada 6,617 lepasan ijazah yang memohon untuk mengikuti program berkenaan, hanya 152 orang diterima.

Sehubungan itu, menurutnya, pihak kesatuan akan membawa perkara tersebut ke peringkat yang lebih tinggi untuk dibincangkan dengan pihak kementerian.

''Kami agak kecewa dan tidak berpuas hati dengan perkara ini, namun kami akan cuba sedaya upaya membantu permohonan mereka yang tidak berjaya ke peringkat proses temu duga KPLI," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung STU yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng.

Ghani memberitahu, STU akan mengemukakan beberapa permohonan dan cadangan kepada Kementerian Pelajaran bagi memastikan penempatan guru di Sabah dan Sarawak mencukupi.

Ujar beliau, pihak kesatuan mahu pihak kementerian menilai semula kapasiti pengambilan guru pelatih dari Sabah dan Sarawak di setiap Institut Pendidikan Guru (IPG) maktab agar bilangan mereka ditambah.

''Kita akan memohon supaya jumlah IPG di negeri ini ditambah iaitu satu di Lawas dan Sri Aman.

''Kita juga mahu kementerian menetapkan kuota iaitu sekurang-kurangnya 50 peratus guru yang mengajar di sesebuah sekolah di setiap negeri itu adalah anak tempatan," katanya.

Penempatan 50 peratus guru terdiri daripada anak tempatan kata Ghani, wajar bagi memastikan aktiviti pembelajaran berjalan lancar.

Jelas beliau, penempatan guru tempatan itu akan membolehkan proses pertukaran guru pada setiap tahun dikurangkan.

Malah, katanya, ia juga boleh mengurangkan kos perjalanan seseorang guru terutamanya akibat pertukaran dan kos pulang bercuti ke kampung masing-masing.

Tambahnya, penempatan anak tempatan yang ramai di setiap sekolah juga mampu memperbaiki mutu pembelajaran apabila pelajar lebih memahami apa yang diajar ekoran faktor bahasa dan budaya.

Utusan Malaysia Online: 24 Mei 2009

Tiada ulasan: