Jumaat, 15 Mei 2009

Tujuh tahun tahan sabar

Oleh Norhafizah Ibrahim
am@hmtero.com.my


KUALA LUMPUR: “Sudah tujuh tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Kota 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Danau Kota, Setapak mengadakan Hari Sukan di sekolah lain berikutan ketiadaan padang sendiri,” kata Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Danau Kota, Nordin Mohd Tahir (gambar) di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengajukan perkara itu kepada pihak yang terbabit, tetapi jawapan diterima masih sama dan hanya disuruh bersabar.

“Sampai bila kami hendak terus berdiam diri dan memekakkan telinga kerana hampir setiap hari ibu bapa mahupun pelajar bertanyakan hal ini,” katanya.

Menurutnya, antara perkara lain tidak diendahkan pihak berkenaan adalah Sijil Kelayakan Menduduki (CF) kedua-dua sekolah itu yang berstatus sementara, ketiadaan lampu jalan dan bekalan elektrik tidak sempurna.

“Jika sekolah masih diteruskan seperti biasa tanpa sebarang jaminan, siapa yang akan tampil bertanggungjawab sekiranya sesuatu tidak diingini berlaku.

“Kami diberi mandat menjaga keselamatan 2,580 guru, pelajar dan pekerja kedua-dua sekolah ini.

“Kami berharap dapat duduk semeja dengan Kementerian Pelajaran Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk membincangkan masalah ini,” katanya.

myMetro: 15 Mei 2009

Tiada ulasan: