Isnin, 11 Mei 2009

Usaha popularkan sukan di sekolah

SERI KEMBANGAN: Kementerian Pelajaran akan mengkaji kegiatan kokurikulum di sekolah terutama membabitkan aktiviti sukan bagi menarik minat lebih ramai pelajar menyertai kegiatan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah mempopularkan semula kegiatan sukan di sekolah itu boleh melahirkan generasi muda berilmu, berkemahiran dan cergas.

Beliau berkata, perlu ada keseimbangan antara pencapaian akademik dan sukan, oleh itu usaha akan digerakkan untuk membangunkan minat terhadap sukan di kalangan generasi muda di sekolah.

"Pendidikan itu perlu dilaksanakan dalam suasana menyeronokkan dan satu aspek yang kurang diberi perhatian ialah membangunkan minat sukan di kalangan anak-anak di sekolah.

"Kita mungkin akan kehilangan sesuatu yang penting dalam hidup jika tidak meminati dan menyertai sukan. Ia bukan semata-mata untuk bersukan, sebaliknya baik untuk kesihatan serta merapatkan hubungan antara pelajar," katanya pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Persahabatan Patron's Cup anjuran TSM Charity Golf di sini, semalam.

Kejohanan tahunan itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-62 Muhyiddin pada 15 Mei ini. TSM Charity Golf turut menyampaikan sumbangan RM200,000 kepada 20 badan kebajikan, selain RM20,000 untuk mengisi Tabung Anak-Anak Yatim Barisan Nasional (BN) Pagoh.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata berdasarkan perbincangan awal dengan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Md Dom, dua perkara yang menjadi halangan kepada cadangannya itu adalah padang dan guru sukan.

"Belum pun dilaksanakan sudah ada halangan, iaitu masalah padang kerana bukan semua sekolah mempunyai padang sendiri dan cara penyelesaiannya ialah kita perlu berkongsi.

"Kita juga tidak mempunyai guru sukan yang mencukupi kerana lebih 80 peratus guru di sekolah membabitkan wanita, jadi kita perlu mula menggalakkan lelaki menjadi guru," katanya.

Mengimbas ketika zaman persekolahannya di Muar, Johor, Timbalan Perdana Menteri, berkata ketika itu, sukan adalah kegiatan kokurikulum yang penting untuk setiap pelajar seperti di United Kingdom yang mana pelajar diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya dua acara sukan.

Malah, beliau berharap ibu bapa setuju dengan cadangannya itu kerana melalui sukan, generasi muda akan lebih cergas dan cerdas serta tidak tertumpu kepada usaha untuk mendapat keputusan cemerlang saja.

Berita Harian Online: 11 Mei 2009

Tiada ulasan: