Isnin, 30 Ogos 2010

Contohi keunikan SJKC Chen Sin



Hajiji Noor (dua kiri) bersama guru dan murid SJKC Chen Sin menyanyikan lagu 1Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan sekolah berkenaan di Tuaran, semalam.


TUARAN 29 Ogos - Keunikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chen Sin yang berjaya menghimpunkan pelbagai kaum di bawah satu sekolah wajar dicontohi kerana ia melambangkan aspirasi gagasan 1Malaysia sebenar.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Noor berkata, walaupun SJKC merupakan sebuah sekolah Cina, tetapi 80 peratus daripada murid sekolah berkenaan merupakan kaum bumiputera.

"Ia bukan sahaja unik tetapi sesuatu yang boleh kita banggakan. Diharap ini akan mengeratkan perpaduan dan menghapuskan jurang pemisah di antara kaum," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman berkata demikian ketika menghadiri sambutan kemerdekaan di sekolah berkenaan di sini, semalam

Hadir sama Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SJKC Chen Sin, Frankie Goh; Guru Besar sekolah berkenaan, Tan Wing Wah dan Pegawai Pelajaran Daerah, Tah Nia Jaman.

Antara aktiviti yang dianjurkan bagi mengisi sambutan kemerdekaan itu ialah menanam bunga kebangsaan iaitu bunga raya, tayangan dokumentari pembentukan Malaysia dan pelbagai pertandingan patriotik seperti bacaan puisi dan persembahan kebudayaan

Hajiji berkata, keunikan itu perlu direbut oleh semua pihak dengan menanam nilai-nilai baik yang dapat mengukuhkan integrasi antara kaum di negeri ini.

Katanya, nilai-nilai murni itu jika berjaya disemai pada usia muda mampu menjadi panduan dan meningkatkan sensitiviti masyarakat majmuk di negeri ini.

Mengenai sekolah berkenaan, Hajiji berkata, sebagai sekolah Cina tertua di daerah ini SJKC Chen Sin telah banyak menyumbang kepada kemajuan pelajaran di sini.

Utusan Malaysia Online: 30 Ogos 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih atas pujian YB Hajiji Noor terhadap SJKC Chen Sin sebagai contoh sekolah wawasan 1Malaysia.
Sebenarnya, di Sabah bukan itu sahaja Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang mempunyai bilangan murid teramai dari kalangan bukan bangsa Cina. Ada banyak lagi sekolah yang seperti itu. Sebagai contoh SJKC Khoi Ming, Kota Marudu, SJKC Chung Hwa, Tamparuli, SJKC Lok Yuk,dan banyak lagi sekolah yang tidak dapat disebutkan disini.
Satu keunikan pelajar-pelajar di Sabah ialah ibubapa dan orang-orang politik sama ada dari parti pemerintah atau dari parti pembangkang tidak pernah mengungkit sebarang masalah yang boleh mencetuskan isu-isu perkauman, dan perbezaan agama kerana kita menyedari bahawa kedua-dua perkara tersebut adalah sangat sensitif. Oleh itu, semua pelajar bebas mengamalkan budaa sendiri.